Manifesto Pakatan Rakyat

Friday 19 April 2013

Pembangkang Di Raja : Pengiktirafan Peranannya di Malaysia


Pada tanggal 10 April 1826, Sir John Hobhouse ketika berhujah di dalam House of Commons, Westminster telah mengungkapkan istilah His Majesty’s Opposition atau di sesetengah negara memanggilnya sebagai His Majesty’s Loyal Opposition yang menjadi batu asas penting dalam sistem demokrasi berparlimen di negara England ketika itu dan setelah 162 tahun, peninggalan dan jasa besar beliau masih lagi di guna pakai di seluruh Parlimen di dalam negara-negara Komanwel hingga hari ini.

Apakah yang dimaksudkan beliau sebagai Pembangkang Di Raja ketika itu? Menurut Geraltz Schmitz (1988) dalam kertas kajiannya The Opposition in A Parliamentary System istilah His Majesty’s Opposition atau Pembangkang Di Raja membawa maksud bahawa ahli-ahli pembangkang di dalam Dewan Perundangan sesebuah negara berkemungkinan akan mempertikai dasar kerajaan sedia ada namun pada masa yang sama masih lagi berfungsi di dalam kerangka demokrasi yang dibenarkan. Pencerahan berhubung maksud pembangkang pula diperincikan di dalam kertas kerja The Role of Political Parties in Democracy oleh National Democratic Institute For International Affairs sebagai democratic opposition ialah parti politik yang tidak menerima undi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan namun memainkan peranan yang sama penting untuk ahli dan penyokongnya serta termasuk juga kepada orang yang tidak menyokong dasar dan aktiviti yang dilaksanakan kerajaan pemerintah.

Justeru, atas dua definisi ini maka konsep Pembangkang DiRaja ini dapat difahami sebagai membenarkan percanggahan idea melalui hujah dan debat bagi memastikan demokrasi itu berfungsi tanpa berasa takut dituduh sebagai pengkhianat memandangkan tugas mereka juga bertanggungjawab terhadap ahli dan penyokongnya dan kepada sesiapa yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan pemerintah.[2] Pada sesiapa yang menganggapnya ia hanyalah perubahan terma perkataan, mereka silap kerana ia menunjukkan kepentingan kedudukan pembangkang di dalam sistem Parlimen negara-negara Komanwel yang mempunyai sejarahnya yang panjang.[3]

Ini kerana pada awal abad ke 16 dan ke 17, sesiapa sahaja ahli-ahli Parlimen yang cuba mengemukakan rang undang-undang peribadi (private bill), bertentangan pendapat atau idea dengan Raja (kerajaan), hatta berdebat isu-isu nasional seperti hak pewarisan, dasar luar dan agama telah merisikokan diri mereka untuk di penjara.[4] Oleh yang demikian, adalah sesuatu yang lumrah jika hari ini pembangkang sering dipinggirkan, diperkecil dan diperkotak-katikkan peranannya memandangkan ia telah berlaku ratusan tahun dahulu.

Walau pun terma Pembangkang Di Raja tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan di Malaysia secara terang dan jelas, namun pengiktirafan terhadap ketua pembangkang dan peranannya dapat dilihat dalam beberapa akta dan undang-undang kecil. Ini pastilah berbeda dengan kedudukan His Majesty’s Opposition di United Kingdom memandangkan Perlembagaan United Kingdom ini tidak bertulis maka atas warisan dan sejarahnya pada tahun 1826, maka terma ini telah di kanunkan secara tidak langsung disisi Perlembagaannya.[5]

Norman Wilding di dalam bukunya An Encyclopedia of Parliament menyatakan di dalam menentukan kedudukan dan mengiktiraf peranan pembangkang di dalam dewan perundangan, kebiasaannya kedudukan pembangkang diketuai Ketua Pembangkang yang akan duduk di barisan hadapan sekali dan di sebelah kiri Yang Di Pertua Dewan Perundangan. Parti politik pembangkang yang menguasai kerusi terbanyak akan diberikan keutamaan diikuti parti-parti politik yang berikutnya. Kedudukan yang diguna pakai ini juga terpakai di dalam Parlimen Malaysia memandangkan Malaysia juga merupakan sebuah negara jajahan takluk negara British satu ketika dahulu.

 Walau pun pilihanraya di Malaysia telah diadakan pada tahun 1955, namun ia merupakan Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan sebelum merdeka. Justeru, ia tidak boleh di anggap Parlimen Tanah Melayu yang mencerminkan kedudukan sebuah Parlimen yang berdaulat. Hanya pada tahun 1959, barulah Malaysia mempunyai sebuah kabinet kerajaan dan pembangkang yang formal di dalamnya. Namun demikian, tidak dapat ditentukan pula tarikh sebenarnya wujud jawatan ketua pembangkang ini. Ini kerana Ahmad Abdullah (1969) dalam bukunya Parlimen Malaysia Amalan dan Acara menyatakan di waktu itu, jawatan ketua pembangkang belum lagi wujud di dalam Parlimen hatta ketika pada tahun 1959 sekali pun.[6]

Walaupun definisi ketua kerajaan hatta ketua pembangkang tidak di masukkan di dalam peruntukan Perkara 160, Perlembagaan Persekutuan namun sedia difahami ketua kerajaan adalah Perdana Menteri manakala penjelasan secara ringkas dan tuntas maksud ketua pembangkang diungkap dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Peraturan 4A (3.) dan (4.) menyebut tentang definisi yang membawa maksud Ketua Kumpulan bagi pihak pembangkang.

Justeru, Ketua Pembangkang mendapat keistimewaan seperti keutamaan berhujah selepas Menteri Kewangan membentangkan belanjawan tahunan. Selain itu, berdasarkan peruntukan di dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, selain itu Ketua Pembangkang juga mendapat kelayakan gaji sebagai ahli Dewan Rakyat sebanyak RM 5969.00 sebulan, beliau juga mendapat elaun tambahan secara bulanan sebanyak RM3190.00 selain pejabat dan sebagainya. Jumlah ini sama atau kecil sedikit dengan gaji seorang Timbalan Menteri di Malaysia.

Bagaimana pula kedudukan ketua pembangkang di negara-negara komanwel? Di negara-negara lain pula, kedudukan dan pengiktirafan ketua pembangkang di angkat begitu tinggi. Gaji seorang ketua pembangkang adalah hampir setaraf dengan gaji seorang menteri kabinet di sana dan pengiktirafan ini telah pun diberikan semenjak tahun 1937.[7] Di United Kingdom, elaun dan gaji ketua pembangkang berjumlah 139, 355 pound sterling manakala Menteri Kabinetnya mendapat gaji berjumlah 145, 499 pound sterling setahun. Antara negara-negara lain yang memberikan pengiktirafan yang sama kepada ketua pembangkang di mana gajinya hampir setaraf Menteri Kabinet adalah di Australia, New Zealand dan Kanada.

Kehadiran pembangkang di Parlimen harus dilihat sebagai pelindung bagi sebahagian hak minoriti di dalam negara ini. Ini kerana mereka secara sahnya telah dipilih sebagai wakil rakyat bagi konsitusi tersebut. Ini bersesuaian lah dengan konsep majority rule, minority right dimana walaupun kumpulan majoriti yang memerintah, hak bagi minoriti perlu dipelihara dan dilindungi. Seharusnya masyarakat tidak melihat parti pembangkang di dalam Dewan Perundangan ini sebagai mereka yang suka menghentam kerajaan semata-mata malahan mereka juga harus dilihat berfungsi sebagai kerajaan alternatif. Ini kerana apabila parti-parti pembangkang ini berfungsi secara formal maka mereka mempunyai tanggungjawab besar yang perlu di beri perhatian di dalam dewan khususnya terhadap pembangunan, dasar yang dibentangkan kerajaan di dalam dewan perundangan tersebut.[8]

Resoluti dari Bengkel Hak dan Tanggungjawab Pembangkang anjuran Sekretariat Parlimen Komanwel juga sepakat menyatakan bahawa kunci yang di perlukan bagi membuktikan pembangkang sebagai sebuah kerajaan alternatif adalah kredibiliti sesebuah pembangkang apabila berhujah . Ia bermaksud bagi sesebuah pembangkang itu dilihat sebagai sebuah kerajaan alternatif maka pakatan pembangkang itu bukan sahaja mesti berkemampuan untuk mengambil alih kerajaan tetapi dilihat mampu juga membuatnya. Ini dapat dilihat melalui idea-idea dan gagasan yang dikemukakan kepada rakyat dan gagasan ini perlulah disokong dengan data dan fakta yang menguatkan hujah mereka. Justeru, apabila gagasan-gagasan sebegini yang terang, jelas dan nyata secara munasabahnya maka itulah yang dapat dikatakan ‘bukan sahaja mesti berkemampuan untuk mengambil alih tetapi dilihat mampu membuatnya’.

Dalam kita ghairah berpesta pilihanraya tidak lama lagi, penulis suka memetik kata Sir John Hobhouse pada tahun 1819 di mana ketika itu beliau di tahan di dalam penjara Newgate, katanya “Aku adalah orang yang dipilih untuk rakyat, oleh rakyat dan jika dipilih dalam pilihanraya ini Aku tidak akan melakukan apa-apa perniagaan selain untuk rakyat.” Justeru, terdapat suatu persoalan yang bermain-main di minda penulis, sudah sampaikah masanya kita beranjak mengiktiraf pembangkang di Malaysia sebagai Pembangkang DiRaja jika tujuan murni mereka juga sama adalah berkhidmat untuk rakyat. Memandangkan sudah mula menjadi satu budaya ahli-ahli politik di Malaysia ‘mengkhianatkan’ ahli politik lain hanya semata-mata perbedaan idea dan pandangan. Ayuh, kita setapak lagi maju ke depan membudayakan politik baru di Malaysia.

Senarai Ketua Pembangkang (1959 hingga 2008)

Dato’ Onn Bin Jaafar
1959 - 1964
Parti Negara
Tan Chee Khoon
1964-1969
Parti Gerakan
Mohamed Asri Muda (bermula 1971 apabila Parlimen mula bersidang setelah digantung sejak 1969)
1969-1974
Parti Islam Se Malaysia
Lim Kit Siang
1975-1981
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Lim Kit Siang
1981-1985
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Lim Kit Siang
1985-1990
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Lim Kit Siang
1990-1995
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Lim Kit Siang
1995-1999
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Dato’ Fadzil Noor (1999-2002) meninggal dunia diganti dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Bin Awang (2002-2004)
1999-2004
Parti Islam Se Malaysia
Lim Kit Siang
2004-2008
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan diganti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim
2008-2013
Parti Keadilan Rakyat




[1] Penulis adalah seorang calon Doktor Falsafah di dalam Undang-undang Perlembagaan di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia. Penulis boleh dihubungi di idzuafi@yahoo.com

[2] Gerald Schmitz, (1988), The Opposition in Parliamentary System, Canada Research Parliament,http://www.parl.gc.ca/Content/LOP/researchpublications/bp47-e.pdf. (Tarikh akses 1 April 2013)

[3] Norman Wilding and Philip Laundy, 1968, An Encyclopedia of Parliament, Cassell and Company Ltd, 3rd Edition, muka surat 498.

[4] Ibid muka surat 2.

[5] Mark Sandford, 2011, Opposition Party in the House of Commons, House of Commons Library.

[6] Ahmad Abdullah, 1969, Parlimen Malaysia Amalan & Acara, Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, muka surat 24. Pada tahun 1959, PAS memenangi kerusi Pilihanraya Umum yang terbanyak sebagai pembangkang sebanyak 13 kerusi, Front Sosialis Rakyat Malaya (8 kerusi), Parti Progresif Rakyat (4 kerusi) dan Parti Negara (1 kerusi) secara tidak rasmi Dato Onn Jaafar menjadi ketua pembangkang ketika itu. Ahmad Boestamam, Datuk Onn Yang Saya Kenal, Penerbitan Adabi Sdn. Bhd, muka surat 74.

[8] The Role of Opposition, The Report of a workshop on the rights and responsibilities of the Opposition, Commonwealth Secretariat and the Commonwealth Parliamentary Association
Marlborough House, London - 8-10 June 1998

1 comment:

  1. Harrah's Las Vegas - MapyRO
    Find the Harrah's 대구광역 출장안마 Las Vegas 거제 출장안마 (formerly known as Caesars 논산 출장마사지 Caesars Palace Hotel, Casino 영천 출장안마 & SkyPod, Harrah's Hotel & Casino & SkyPod 광양 출장마사지 Las Vegas.

    ReplyDelete